GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tourism Malaysia menganjurkan pertandingan Cuti-Cuti Malaysia Travel Wish Lists 2021 bermula 17 Mac hingga 2 April ini dalam usaha merancakkan kembali pelancongan domestik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, orang ramai boleh menghantar foto pelancongan menarik berserta penulisan cerita pendek destinasi percutian impian mereka ke platform media sosial Backpackerz dan Tourism Malaysia.

"Saya menyeru orang ramai merebut peluang bagi menonjolkan keunikan serta keindahan tempat menarik dalam negara yang hendak kita lawati apabila aktiviti rentas negeri, kembali dibenarkan," katanya ketika merasmikan pertandingan berkenaan secara maya menerusi aplikasi Zoom.

Katanya, inisiatif ini selari dengan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 yang dapat membantu meraih publisiti produk pelancongan domestik di media sosial.

Sementara itu, Nancy dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), hari ini berkata pertandingan itu akan dapat membantu meraih publisiti untuk produk pelancongan domestik di media sosial sekali gus meningkatkan permintaan untuk penggiat industri pelancongan dan kebudayaan.

Katanya, keputusan kerajaan memberi kelonggaran rentas daerah untuk aktiviti pelancongan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), termasuk pada kadar 50 peratus daripada kapasiti premis di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), memberi nafas lega kepada penggiat industri pelancongan, seni dan budaya.

Pertandingan dengan kerjasama majalah digital pelancongan, Backpackerz itu menawarkan hadiah utama geran pelancongan bernilai RM4,000 dan telefon pintar Apple iPhone 12 yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Tiga pemenang utama pertandingan berpeluang menggunakan hadiah geran melancong untuk bercuti di dalam negara serta menulis pengalaman percutian mereka di Facebook Tourism Malaysia dan majalah digital pelancongan, Backpackerz, dalam masa tiga bulan selepas aktiviti rentas negeri kembali dibenarkan kelak, katanya.

Naib johan pula akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta konsol permainan video jenama Sony Playstation 5, manakala pemenang tempat ketiga akan menerima wang tunai RM1,500 berserta Apple Airpods.

Lima pemenang hadiah sagu hati akan membawa pulang wang tunai RM300.

Maklumat lanjut pertandingan, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://verst.com.my/backpackerz/ atau https://www.facebook.com/backpackerzmag.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 5:06 PM