Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Jumlah anggaran kerugian industri pelancongan negara pada tahun ini adalah melebihi RM100 billion, kata Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Perdana Menteri berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan aktiviti ekonomi berkaitan industri pelancongan, seperti penginapan, pengangkutan, membeli-belah, makanan dan minuman serta penganjuran acara terpaksa berhadapan dengan saat paling menyulitkan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan cabaran besar yang dihadapi penggiat industri, majikan dan pekerja industri pelancongan.

"Kita faham, pelaksanaan beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 memberikan impak yang besar kepada industri pelancongan negara.

"Malah, Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) meramalkan bahawa pemulihan sektor pelancongan global dijangka akan mengambil masa selama dua hingga empat tahun," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 yang berlangsung secara maya, hari ini.

Katanya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut meramalkan negara memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun untuk memulihkan semula industri ini.

"Ini adalah tempoh yang agak panjang dan pastinya memberikan cabaran yang besar kepada semua pihak terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam industri pelancongan negara," katanya.

Muhyiddin berkata, di sebalik usaha menamatkan wabak Covid-19 ini, peluang masih terbuka untuk industri dan kerajaan memperbaiki kelemahan yang ada melalui peningkatan kualiti perkhidmatan serta mutu penyampaian.

Pulau Langkawi. FOTO Arkib NSTP
Pulau Langkawi. FOTO Arkib NSTP

"Usaha mengoptimumkan penggunaan teknologi yang canggih dan fleksibel seperti penggunaan konferensi video dan transaksi tanpa sentuhan membolehkan kita membudayakan norma baharu tanpa menjejaskan potensi industri pelancongan.

"Saya percaya, di peringkat awal ini kita boleh menjana semula industri pelancongan negara dengan merancakkan aktiviti pelancongan domestik, sementara sempadan masih ditutup dan mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong di dalam negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 11:03 AM