Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan menerusi Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 mensasarkan untuk menjenamakan Malaysia sebagai Destinasi Ekopelancongan Terbaik di Dunia.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ia berikutan nilai serta potensi tinggi yang dimiliki sektor ekopelancongan negara.

Justeru katanya, matlamat itu perlu dipikul dan digembleng secara bersama antara semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan serta penggiat industri untuk memastikan pembangunan produk ekopelancongan berdaya saing dan inklusif.

"Usaha ini juga selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Antara strategi yang perlu dipertingkatkan adalah melalui aktiviti promosi dan pemasaran produk ekopelancongan yang lebih agresif dan konsisten bagi mengekalkan momentum pertumbuhan industri ekopelancongan.

"Dalam hal ini, KeTSA memainkan peranan yang amat signifikan di bawah Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 bagi mengangkat Malaysia sebagai salah satu destinasi ekopelancongan terkemuka di dunia," katanya.

TAKIKYUDDIN (dua kanan) menyampaikan cederamata kepada wakil KeTSA selepas Majlis Seminar Pemerkasaan Ekopelancongan Sumber Asli . FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
TAKIKYUDDIN (dua kanan) menyampaikan cederamata kepada wakil KeTSA selepas Majlis Seminar Pemerkasaan Ekopelancongan Sumber Asli . FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Seminar Pemeriasaan Ekopelancongan Sumber Asli, di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, Malaysia amat kaya dengan khazanah sumber asli yang bernilai tinggi dan terbukti apabila dinobatkan salah satu daripada 17 negara di dunia yang diklasifikasikan sebagai negara mega diversiti yang menyimpan pelbagai khazanah flora dan fauna yang masih belum dijelajah sepenuhnya.

"Di bawah KeTSA sahaja, terdapat lebih daripada 150 lokasi ekopelancongan termasuk Taman Negara, Hutan Taman Negeri dan Taman Ekorimba.

"Lokasi-lokasi ini antara khazanah sumber asli negara yang harus kira jaga, syukuri dan nikmati.

"KeTSA akan terus komited dalam usaha meningkatkan lagi perkembangan produk ekopelancongan sumber asli negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 10:22 PM