Sebahagian mesin dan peralatan bitcoin yang dirampas, (gambar kanan) suspek yang ditahan. FOTO Ihsan Polis
Sebahagian mesin dan peralatan bitcoin yang dirampas, (gambar kanan) suspek yang ditahan. FOTO Ihsan Polis
Oleh Hamzah Osman / 25JAN22


Langkawi: Polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan perlombongan Bitcoin dan merampas 180 mesin di sebuah premis di Persiaran Putra, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata suspek warga tempatan berusia 28 tahun ditahan dalam serbuan pada 12.05 tengah malam.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi telah menahan suspek di Taman Simfoni.

"Polis dibantu lelaki terbabit membuka pintu di sebuah premis sebelum menemui peralatan disyaki digunakan untuk perlombongan mata wang digital bitcoin," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, polis turut menemui bukti berlaku penyambungan elektrik secara haram dalam premis terbabit sehingga menyebabkan kerugian pada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Serbuan dan pemeriksaan turut disertai kakitangan Teknikal TNB.

"Antara barangan rampasan termasuk mesin bitcoin sebanyak 180 unit, modem wifi (tiga), penyambung internet (lapan) dan router (satu)," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 11:35 AM