Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan sedang mempertimbangkan calon vaksin lain yang berada di fasa ketiga ujian klinikal untuk menampung penggunaan vaksinasi rakyat Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan berkenaan dan senarai keutamaan golongan penerima vaksin akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) ketika ini sedang mempertimbangkan calon vaksin lain yang berada di fasa ketiga ujian klinikal untuk digunakan di Malaysia.

"Pengumuman mengenai ini dan juga senarai keutamaan siapa yang akan menerima vaksin dahulu akan diumumkan dalam masa yang terdekat," katanya ketika sesi pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung kos, keberkesanan dan liputan penduduk untuk vaksin Pfizer khususnya tempoh imuniti waktu dilaksanakan dan jaminan perubatan ke atas kesan sampingan negatif supaya dapat meyakinkan rakyat menerima dua dos dengan selamat.

Mengulas lanjut pertanyaan itu, Khairy berkata, pemilihan vaksin Pfizer berdasarkan pada laporan interim ujian klinikal yang diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 Disember lalu.

"Ia menunjukkan vaksin berkenaan didapati mempunyai tahap keberkesanan 95 peratus dalam mencegah jangkitan Covid-19 dan kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanannya.

"Vaksin ini juga mendapat kebenaran penggunaan kecemasan (EUA) dari tujuh negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Saudi Arabia, Mexico dan Singapura.

"Bagaimanapun, keputusan penggunaan vaksin itu di Malaysia masih tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan.

"Proses ini sudah bermula dan semua data yang dibekalkan oleh pihak Pfizer akan diteliti oleh NPRA," katanya.

Khairy juga menyambut cadangan Guan Eng supaya vaksin itu digunakan terlebih dulu kepada Ahli Parlimen, dengan perkara itu katanya akan dipertimbangkan danakan diumumkan kemudian.

Pada 24 November lalu, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat Pfizer bagi mendapatkan bekalan vaksin berkenaan.

Selain vaksin daripada Pfizer, Malaysia juga menyertai fasiliti COVAX yang menjamin akses bekalan vaksin

sebanyak 10 peratus populasi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 11:59 AM