MUHYIDDIN (tengah) ketika sidang media maya di pejabatnya hari ini. Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini. FOTO BERNAMA
MUHYIDDIN (tengah) ketika sidang media maya di pejabatnya hari ini. Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini. FOTO BERNAMA
Zanariah Abd Mutalib

Putrajaya: Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini, dengan penghantaran pertama sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bekalan vaksin itu akan diperoleh daripada syarikat farmaseutikal, Pfizer melalui perjanjian pembelian awal yang ditandatangani kerajaan melalui Kementerian Kesihatan pada 24 November lalu dan akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Muhyiddin berkata, perjanjian itu bertujuan memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan, selain menjamin akses kepada vaksin itu jika sedia untuk diedarkan syarikat berkenaan, selepas Pfizer menyatakan analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin itu adalah 95 peratus.

"Melalui perjanjian ini juga, Pfizer menjanjikan penghantaran sebanyak satu juta dos bagi suku pertama tahun 2021, disusuli dengan 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat.

"Pihak syarikat bagaimanapun masih perlu mendapatkan kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan kelulusan regulatori dari negara pengeluar, selain daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan sebelum vaksin ini boleh digunakan di Malaysia.

"Kerajaan memberi jaminan bahawa vaksin yang akan digunakan di Malaysia mesti melepasi syarat ketat yang ditetapkan NPRA. Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam soal ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan secara sidang video di Perdana Putra di sini, tadi. Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Muhyiddin memaklumkan, pada 22 November lalu, Malaysia melalui Menteri Kesihatan juga menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus rakyat Malaysia.

"Justeru, kedua-dua perjanjian ini dijangka dapat menjamin akses vaksin Covid-19 untuk 30 peratus rakyat Malaysia. Proses pemberian vaksin, selepas diperolehi nanti, akan dilakukan secara berperingkat dengan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi yang mudah mendapat jangkitan Covid-19.

"Kumpulan berisiko tinggi ini termasuk petugas barisan hadapan, warga emas dan pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, penyakit pernafasan kronik dan sebagainya. Seterusnya, vaksin ini juga akan diperluaskan kepada kumpulan sasar yang lain," katanya.

Pada masa yang sama, Muhyiddin berkata, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga masih giat meneruskan rundingan dengan syarikat pengeluar vaksin di seluruh dunia untuk mendapatkan akses kepada vaksin Covid-19 yang secukupnya bagi rakyat Malaysia.

"Kerajaan sedang berunding dengan 10 daripada 12 syarikat vaksin Covid-19 yang berada dalam ujian klinikal fasa tiga, termasuk dari China, Russia dan Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Mengulas lanjut mengenai bekalan vaksin oleh Pfizer itu, Muhyiddin berkata, ujian klinikal fasa tiga untuk vaksin itu membabitkan 43,998 peserta dari pelbagai negara seperti Amerika Syarikat (AS), Argentina, Brazil, Jerman, Afrika Selatan dan Turki.

"Jika digabung, semua 12 vaksin yang berada di ujian klinikal fasa tiga, seramai 500,000 peserta yang sudah terbabit. Apabila diluluskan, barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi yang lain bukan ujikaji pertama.

"Mereka akan mendapat vaksin yang sudah diuji dan terbukti selamat. Selepas vaksin digunakan, pemantauan keberkesanan dan keselamatan tetap akan diteruskan oleh NPRA," katanya.

Selain itu katanya, buat masa ini, pemberian vaksin berkenaan tidak akan membabitkan pelajar sekolah seperti yang diputuskan pakar yang terbabit sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 7:36 PM