ANGGOTA bomba menjalankan operasi pemadaman rumah teres dua tingkat di Taman Permas Jaya yang terbakar 50 peratus. FOTO IHSAN BOMBA
ANGGOTA bomba menjalankan operasi pemadaman rumah teres dua tingkat di Taman Permas Jaya yang terbakar 50 peratus. FOTO IHSAN BOMBA
Omar Ahmad


Johor Bahru: Dua beranak sempat menyelamatkan diri pada kebakaran membabitkan kediaman mereka di Taman Permas Jaya di sini, petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Sahrul Nizam Ithnin berkata, pada kejadian jam 2.46 petang, rumah teres dua tingkat itu musnah kira-kira 50 peratus.

Katanya, semasa kejadian, dua penghuni berada di rumah membabitkan wanita dan anaknya yang juga kanak-kanak lelaki.

"Kebakaran disedari kanak-kanak itu yang berada di bilik bersebelahan yang terbakar di tingkat atas lalu memberitahu ibunya.

"Kedua-duanya sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan. Kami mengambil masa 15 minit untuk mengawal kebakaran," katanya pada kenyataan.

Menurut Sahrul Nizam, operasi pemadaman api membabitkan 19 anggota manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 8:06 PM