RUMAH pusaka dua tingkat yang hangus dalam kebakaran di Kampung Masjid, Tikam Batu. FOTO Izad Thaqif Hassan
RUMAH pusaka dua tingkat yang hangus dalam kebakaran di Kampung Masjid, Tikam Batu. FOTO Izad Thaqif Hassan
Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Letupan kuat kali ketiga yang didengari penghuni sebuah rumah menyedarkan mereka bahawa kediaman dua tingkat di Kampung Masjid, Tikam Batu di sini, sedang terbakar.

Terdahulu, pada kejadian jam 9.40 malam tadi, 11 penghuni termasuk enam kanak-kanak, sedang menjamu selera di bahagian bawah rumah pusaka terbabit tanpa menyedari api marak di tingkat atas yang diperbuat daripada papan.

Menceritakan kejadian, Nurul Aina Marzuki, 18, berkata dia baharu tiba di rumah yang dihuni sepupunya untuk makan malam kerana dimaklumkan ramai ahli keluarga lain pulang ke kampung.

"Kami berkumpul sambil menikmati hidangan dan tiba-tiba, kami terdengar letupan kecil namun menyangka ia hanya objek yang terjatuh di lantai papan tingkat atas.

"Namun, letupan kuat kali ketiga membuatkan sepupu meninjau tingkat atas rumah sebelum dia menjerit memberitahu rumah terbakar," katanya.

Menurutnya, keadaan ketika itu agak kelam kabut dan mereka terus menyelamatkan kanak-kanak terlebih dahulu yang berusia tiga hingga lapan tahun dengan membawa mereka keluar.

"Api marak dengan pantas dan kami tidak sempat menyelamatkan dokumen penting selain barangan berharga.

"Hampir keseluruhan rumah hangus," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Syukri Hashim berkata, tiga rumah terbabit dalam kebakaran itu dengan masing-masing mengalami kemusnahan antara lima hingga 90 peratus.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 9.40 malam dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

Seramai 32 anggota dan pegawai membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Sungai Petani, Aman Jaya dan bomba sukarela terbabit dalam operasi memadam kebakaran.

"Kebakaran turut memusnahkan dua motosikal dan sebuah kereta.

"Kebakaran dapat dikawal jam 10.02 malam dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih disiasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 4:25 PM