Lori dan ikan selar (gambar kecil) yang ditahan serta dirampas Maqis di Unit Pemeriksaan Kargo Maqis, Kompleks LKIM Padang Besar pada Jumaat lalu. Foto Ihsan Maqis.
Lori dan ikan selar (gambar kecil) yang ditahan serta dirampas Maqis di Unit Pemeriksaan Kargo Maqis, Kompleks LKIM Padang Besar pada Jumaat lalu. Foto Ihsan Maqis.
Aizat Sharif

Padang Besar: Sebuah lori sejuk beku ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Padang Besar kerana cuba membawa masuk muatan ikan selar sejuk beku bernilai RM9,000 dari Thailand tanpa permit import sah pada Jumaat lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Maqis hari ini, kejadian berlaku pada 11 pagi di Unit Pemeriksaan Kargo Maqis, Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Padang Besar.

"Pegawai penguat kuasa Maqis yang bertugas bertindak menahan lori dengan nombor pendaftaran Thailand berkenaan yang didapati baru masuk dari Thailand.

"Hasil pemeriksaan lanjut ditemukan ikan selar sejuk beku seberat 9,000 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM9,000," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati pemandu lori warga Thailand yang berusia dalam lingkungan 30-an gagal mengemukakan sebarang dokumen seperti Permit Import Maqis.

"Maqis dimaklumkan ikan selar sejuk beku itu mendapat permintaan pasaran yang tinggi di Malaysia terutamanya di sekitar Selangor.

"Sehubungan itu, Maqis menegaskan agar semua pemain industri sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang," katanya.

Perbuatan mengimport dagangan tanpa permit yang sah disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua- duanya sekali.

Tindakan penguatkuasaaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.

Ia bagi memastikan tumbuhan, haiwan, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 10:24 AM