GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Masalah kewangan, dadah dan mental antara faktor utama berlaku penderaan kanak-kanak di Malaysia.

Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, tiga faktor utama itu antara penyumbang kes penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian kanak-kanak di negara ini.

"Masalah kewangan, ibu bapa terbabit penagihan dadah dan pendera mengalami masalah mental antara faktor utama penderaan kanak-kanak di Malaysia," katanya ketika menjawab soalan tambahan Azri Azit (Pas-Jerai) mengenai punca penderaan di Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah memperincikan statistik penderaan kanak-kanak dan langkah diambil bagi mengelakkan berlakunya isu penderaan kanak-kanak di Malaysia menerusi soalan lisan oleh Azri.

Menurutnya, sebanyak 3,875 kes penderaan fizikal kanak-kanak direkodkan di negara ini termasuk penderaan seksual, emosi dan pengabaian sehingga September tahun ini.

"Bagi penderaan seksual kanak-kanak sebanyak 1,373 kes direkodkan, emosi (131 kes) manakala pengabaian kanak-kanak pula mencatatkan 1,251 kes.

"Bagi 2019 pula, sebanyak 6,061 kes penderaan fizikal manakala 2018 pula 5,578 kes direkodkan," katanya.

Katanya, tanggungjawab melindungi kanak-kanak dan pengabaian bukan hanya menjadi tugas kerajaan semata-mata tetapi membabitkan pelbagai pihak dan agensi.

"Antara langkah dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengelak berlaku penderaan dengan menyediakan sistem semakan pesalah jenayah seksual dalam daftar kanak-kanak dan senarai semak panduan infografik bagi pemilihan pengasuh.

"Selain itu, program keselamatan kanak-kanak sahabat bijak, selamat dan terlindung, program pendidikan keselamatan keluarga (Peka), peluasan talian kasih iaitu 15999 dan Whatsapp serta pelantikan pembantu pelindung," katanya.

Katanya, penderaan kanak-kanak sentiasa menjadi tumpuan kerajaan berikutan perkara itu sangat terkutuk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 1:17 PM