Zulkhairi Zainol Abidin (dua dari kiri) memotong kek bersama kanak-kanak pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat negeri Pahang 2022. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Zulkhairi Zainol Abidin (dua dari kiri) memotong kek bersama kanak-kanak pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat negeri Pahang 2022. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Sejumlah 378 kes penderaan kanak-kanak direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang dalam tempoh hampir 11 bulan tahun ini.

Pengarah JKM Pahang, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, daripada jumlah itu, serangan seksual, penderaan fizikal dan emosi menjadi kes tertinggi dengan 279 kes yang membabitkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Katanya, ia diikuti pengabaian mencatat sebanyak 61 kes, dibuang dan tiada ibu bapa sebanyak 17 kes serta 27 lain-lain kes Katanya, Kuantan mencatat kes penderaan dan pengabaian tertinggi iaitu 168 kes.

Menurutnya, pihaknya memandang serius isu berkaitan kanak-kanak yang berlaku di negeri ini, pelbagai usaha dilakukan dalam memastikan kes penderaan tidak terus berlarutan.

"Perlakuan ke atas mangsa kebanyakannya perbuatan ahli keluarga, selain jiran dan rakan mangsa yang mengambil kesempatan.

"Pelbagai faktor menyebabkan berlakunya kes penderaan ini, antaranya kesempitan hidup, sikap panas baran dan tekanan," katanya pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat negeri Pahang 2022, di sini semalam.

Program itu disertai lebih 100 kanak-kanak membabitkan dua rumah kanak-kanak kendalian JKM, selain penyampaian sijil pelantikan dan penghargaan ahli Lembaga Pelawat Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, di sini.

Dalam pada itu, Zulkhairi berkata, kes penderaan dicatatkan sebanyak 58 kes di Temerloh, Pekan (25 kes), Bera (23), Jerantut (21), Maran (20), Cameron Highlands (18), Raub (13), Lipis (13) dan Bentong sembilan kes..

Beliau berkata, JKM mengambil inisiatif memberi kesedaran kepada kanak-kanak supaya berkongsi maklumat sekiranya menjadi mangsa penderaan dan meminta kerjasama semua pihak membantu dalam mendapat pembelaan.

"Mereka yang mengetahui berlaku kes penderaan pada kanak-kanak boleh menyalurkan maklumat kepada JKM daerah dan negeri selain terus kepada PDRM.

"Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, korporat, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat amat diperlukan dalam usaha memberi perlindungan pada kanak-kanak khususnya mereka yang memerlukan bantuan serta sokongan.

"Peranan komuniti seperti Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) di peringkat daerah dan negeri berfungsi sebagai sokongan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak yang dianggotai beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 10:43 AM