GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok, Sabah; Zon A Taman Klebang Jaya serta Taman Pinji Mewah, Perak ditamatkan hari ini dan esok.

Turut ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kinta, Perak bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 6,776 ujian saringan dan sebanyak 175 kes kumulatif Covid-19 direkodkan di Kampung Numbak dan 224 kes di Penempatan Telipok.

"Bagaimanapun, sehingga kini KKM mengesahkan jumlah kes aktif di kedua-dua lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dan terkawal.

"Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di dua lokaliti berkenaan pada hari ini, seperti dijadualkan," katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi Zon A Taman Klebang Jaya sebanyak 2,679 ujian saringan dilaksanakan dengan 37 kes positif Covid-19 direkodkan.

"KKM mengesahkan masih terdapat kes aktif positif Covid-19 yang membabitkan pekerja warga asing tertumpu di asrama pekerja kilang Yamaha.

"Manakala bagi Taman Pinji Mewah, KKM mengesahkan kesemua penduduk disaring dan sebanyak lapan kes positif Covid-19 direkodkan dalam lokaliti itu," katanya.

Justeru, katanya, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Zon A Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah pada esok seperti dijadualkan kecuali bagi asrama pekerja kilang Yamaha yang akan diteruskan dengan pelaksanaan PKPD selama tujuh hari bermula 15 Disember sehingga 21 Disember.

Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan PKPB di seluruh Daerah Kinta turut ditamatkan esok kecuali Ipoh dan Chemor di Mukim Hulu Kinta yang akan diteruskan sehingga 20 Disember.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 7:20 PM