Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kawasan di Pulau Pinang dan Sabah ditamatkan bermula hari ini dan esok.

Ia membabitkan Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai Pulau Pinang; Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan dan Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon, Kota Belud.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini mengenakan PKPD di Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai pada 22 Oktober lalu.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan sebanyak 3,254 saringan dan secara kumulatif merekodkan sebanyak 606 kes positif Covid-19.

"Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, mesyuarat hari ini bersetuju menamatkan PKPD diu kawasan berkenaan bermula hari ini," katanya ketika media di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi PKPD Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau yang dikenakan PKPD pada 6 November lalu merekodkan 774 kes kumulatif positif Covid-19.


Beliau berkata, bagi Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira sebanyak 799 jumlah kes kumulatif positif Covid-19 direkodkan di kedua-dua lokaliti ini.

"Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM mesyuarat hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di kawasan terbabit.

"Selain itu kerajaan turut menamatkan PKPD di Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon, Kota Belud bermula esok," katanya.


Sementara itu, beliau berkata, kerajaan turut bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Zon B dan Zon C Taman Meru 2C, Ipoh, Perak sehingga 10 Disember ini.

"KKM sudah melaksanakan sebanyak 1,793 saringan dan sebanyak 66 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti-lokaliti ini.


"Sehingga kini KKM turut mengesahkan masih terdapat baki sampel saringan yang masih belum mendapat keputusan, atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan oleh KKM mesyuarat hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Zon B dan Zon C Taman Meru 2C, Ipoh, Perak selama tujuh hari lagi bermula 4 Disember sehingga 10 Disember ini," katanya.

ISMAIL Sabri (gambar fail). FOTO Bernama
ISMAIL Sabri (gambar fail). FOTO Bernama

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 6:23 PM