GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Sabah dan Sarawak selama dua minggu bermula Selasa hingga 28 Jun ini.

Ia bagi memastikan penduduk yang berisiko kekal berada dalam kawasan PKPD selain menyekat pergerakan serta penularan jangkitan Covid-19 keluar dari kawasan berisiko.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Sarawak membabitkan Kampung Tabuan Hj Drahman di Kuching yang sudah merekodkan 54 kes positif Covid-19.

Menurutnya, PKPD di Sabah pula membabitkan masing-masing satu lokaliti di Tawau iaitu Batu 3.5 Jalan Apas (Kiri), Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu dan Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes Covid-19 yang ketara di lokaliti berkenaan.

"Setakat ini, masing-masing 10 kes positif dilaporkan di Batu 3.5 Jalan Apas (Kiri) dan Taman Puri Warisan manakala lapan kes di Kampung Lebak Moyoh," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, katanya, turut dikenakan PKPD adalah dua lokaliti di Tuaran, Sabah iaitu Taman Telipok Jaya dan Kampung Penimbawan.

Katanya, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes Covid-19 yang ketara dalam tempoh seminggu di kedua-dua lokaliti berkenaan iaitu 10 kes positif di Taman Telipok Jaya manakala 13 kes positif di Kampung Penimbawan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, dua PKPD di Sabah iaitu Taman Pelangi, Semporna dan Kampung Tanjung Kapor, Kudat dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 28 Jun ini.

"Manakala PKPD di Jalan Klias 2 dan 3, Beaufort; Kampung Kuala Menggatal, Kota Kinabalu; Kampung Assam, Lahad Datu; Kampung Payas-Payas dan Kampung Rampayan Laut, Sabah ditamatkan mulai esok.

"Turut ditamatkan adalah PKPD di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra, Kedah juga bermula esok," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 7:17 PM