Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima kawasan di Perak dan Sabah, hari ini.

PKPD di Zon A Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah, Ipoh, Perak akan bermula esok sehingga 14 Disember manakala Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, Sandakan; Kampung Desa Bajau serta Kampung Dasar Baru, Lahad Datu, Sabah akan bermula 2 Disember sehingga 15 Disember.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di semua kawasan terbabit.

Mengenai PKPD di Perak, beliau berkata, sidang khas hari ini mendengar pembentangan daripada KKM mengenai peningkatan kes positif Covid-19 membabitkan pekerja di Kilang Kamaya dan Kilang Salutica di Ipoh, Perak.

Beliau berkata, KKM mengesahkan jangkitan Covid-19 di kedua-dua kilang itu sudah merebak di kawasan tempat tinggal mereka.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Katanya, sehingga kini, kesemua 1,402 pekerja daripada Kilang Kamaya disaring dan jumlah kumulatif kes positif yang direkodkan sebanyak 228 kes.

"Sebanyak 110 kes positif Covid-19 direkodkan membabitkan pekerja tinggal di Zon A, Taman Klebang Jaya, Ipoh, manakala 737 ujian saringan dilaksanakan dalam kalangan pekerja di Kilang Salutica dan sebanyak 119 kes positif direkodkan.

"Daripada jumlah itu, 89 kes positif membabitkan pekerja yang tinggal di Taman Pinji Mewah," katanya dalam sidang media hari ini.

Di Sabah pula, Ismail Sabri berkata, sidang khas juga bersetuju melaksanakan PKPD di PTS Sibuga, Sandakan selepas merekodkan 104 kes positif daripada 324 ujian saringan yang dilaksanakan setakat ini.

Katanya, ia membabitkan 1,209 individu terdiri daripada 1,104 tahanan dan 105 kakitangan.


"Pelaksanaan PKPD ini bagi membolehkan KKM terus melaksanakan saringan secara bersasar kepada semua tahanan dan kakitangan.

"Prosedur operasi standard (SOP) PKPD sama seperti pusat tahanan yang diumumkan sebelum ini termasuk larangan keluar masuk daripada kawasan pusat tahanan dan lawatan oleh ahli keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan," katanya.

Bagi PKPD di Kampung Desa Bajau dan Kampung Dasar Baru, Lahad Datu, beliau berkata, KKM sudah melaksanakan 665 ujian saringan dan sebanyak 90 kes positif Covid-19 direkodkan di kedua-dua lokaliti berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 914 rumah membabitkan 4,934 penduduk dikenakan perintah itu dengan SOP PKPD sama seperti sebelum ini kecuali kelonggaran kepada kedai runcit dibenarkan beroperasi 6 pagi hingga 6 petang.

Selain itu, katanya, seorang wakil dari setiap rumah boleh keluar kawasan PKPD dengan kebenaran polis untuk tujuan pengeluaran wang dan membeli keperluan asas.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 6:35 PM