GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Walaupun menyedari risiko diberkas, namun empat beradik 'bersatu hati' melakukan kegiatan haram mengusahakan perniagaan air ketum rebus.

Semua mereka bagaimanapun ditahan polis ketika leka membungkus air ketum di dalam ladang kelapa sawit berhampiran Felda Lui Selatan di sini, jam 11 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, empat beradik itu dikesan memasak air ketum di ladang kelapa sawit berkenaan bagi mengelak aktiviti itu diketahui orang ramai.

Menurutnya, semua suspek dikesan memulakan aktiviti haram itu sejak enam bulan lalu.

"Bagaimanapun hasil risikan dilakukan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol menyerbu lokasi itu.

"Kesemua suspek tidak menyedari kehadiran polis berikutan leka membungkus air ketum. Mereka cuba melarikan diri namun gagal," katanya.


HOO Chang Hook. FOTO Abnor Hamizam
HOO Chang Hook. FOTO Abnor Hamizam


Chang Hook berkata, polis merampas empat tong plastik, dua tong gas, dua dapur masak, dua alat penapis, empat penapis kain, tiga alat pengacau, tiga jug plastik, satu tong berisi daun ketum yang sudah direbus.

Katanya, kesemua suspek ditahan berusia 24 hingga 36 tahun dan ada antaranya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Kesemua suspek direman empat hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3)Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 7:05 PM