GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Apa sudah jadi apabila majoriti yang terjebak najis dadah adalah anak peneroka dan generasi baharu Felda.

Ia terbukti susulan penahanan pengedar dadah bersama 16 penagih kebanyakannya warga peneroka hasil operasi polis di ladang kelapa sawit di FELDA Palong 4,5 dan 6 di sini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kesemua suspek ditangkap menerusi program jihad memerangi dadah yang diadakan pihak polis bermula jam 8.30 pagi kelmarin.

Menurutnya, lokasi semua penagih terbabit berkumpul untuk membeli dan menagih dadah dikenali sebagai `pot mata kucing'.

Katanya, hasil tindakan pantas polis, semua suspek berusia antara 31 hingga 57 tahun berjaya diberkas.

"Pengedar dadah yang ditangkap berusia 40 tahun dan turut mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah sejak berusia 19 tahun..

"Polis merampas sembilan peket plastik lut sinar dadah heroin dianggarkan seberat 105 gram. Dua peket plastik berisi dadah syabu dianggarkan berat 3.80 gram dengan nilai rampasan berjumlah RM4,055," katanya.

Hoo berkata, berdasarkan siasatan dilakukan, pengedar dadah terbabit akan memasuki 'markas dadah' berkenaan untuk menjual dadah kepada penagih yang sedia menunggu.

Katanya, lokasi terletak kira-kira empat kilometer dari kawasan kediaman penduduk itu menjadi lokasi penagih berkumpul dan menghisap dadah sejak sebulan lalu.

"Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Empat suspek yang ditangkap turut dikehendaki polis bagi menyelesaikan kes dadah, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 3:51 PM