BEKALAN air pulih selepas LRA Rantau Panjang SSP1, 2 dan 3 terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran. FOTO Aswadi Alias
BEKALAN air pulih selepas LRA Rantau Panjang SSP1, 2 dan 3 terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran. FOTO Aswadi Alias
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Bekalan air di tujuh wilayah yang terjejas berikutan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) sejak 8 Disember lalu, stabil sepenuhnya pada 3 pagi, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, ia membabitkan 861 kawasan di wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

"Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan kepada petugas barisan hadapan Air Selangor di semua wilayah yang terjejas.

"Dapatkan maklumat sahih hanya di medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com," katanya di Facebook, hari ini.

Air Selangor memaklumkan berlaku henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang serta LRA Sungai Selangor (SSP) 1, 2 dan 3 berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Pencemaran dipercayai berpunca daripada sisa kolam ternakan ikan keli yang tidak mempunyai kebenaran merancang dan beroperasi tanpa kebenaran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 10:30 AM