Siti Rohana Idris


Tumpat: Sanggup menahan bau busuk dari kandang lembu berhampiran demi mendapatkan liputan Internet untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Itu dialami sebahagian besar pelajar dan penuntut yang menjadikan lokasi berhampiran sawah padi dan tepi kandang lembu di Kampung Periok, di sini yang dikenal pasti mempunyai talian Internet serta komunikasi yang jelas.

Bagi penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ahmad Zikri Midin, 21 berkata, boleh dikatakan setiap hari dia akan ke kawasan berhampiran kandang lembu itu bagi mengikuti kelas pada waktu pagi dan petang.

"Saya menunggang motosikal sejauh tiga kilometer (km) dari rumah untuk ke sini kerana di kawasan rumah tiada langsung liputan Internet, sekali gus menyukarkan saya mengikuti pembelajaran atau pembentangan oleh pensyarah.

"Keadaan akan menjadi lebih teruk jika waktu hujan menyebabkan saya terpaksa 'ponteng' kelas kerana tidak dapat keluar untuk mendapatkan liputan Internet.

"Namun, saya akan memaklumkan kepada pensyarah selepas itu berkenaan masalah yang dialami," katanya sambil memaklumkan petang ini akan menduduki peperiksaan dalam talian yang di lokasi berkenaan.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati ada yang berteduh di bawah khemah, malah ada juga yang leka melayari internet di bawah garaj rumah seorang penduduk kampung tanpa mempedulikan bau najis lembu dari kandang berdekatan.

Apa yang penting masing-masing dapat menyiapkan tugasan penting dengan segera.

MEREKA dikatakan setiap hari akan ke kawasan yang berhampiran sawah padi itu bagi mengikuti kelas dalam talian pada waktu pagi dan petang di Kampung Periok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MEREKA dikatakan setiap hari akan ke kawasan yang berhampiran sawah padi itu bagi mengikuti kelas dalam talian pada waktu pagi dan petang di Kampung Periok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kesukaran yang dialami itu menyebabkan penduduk terpaksa mencari alternatif tersendiri dengan mengesan mana-mana lokasi terdekat yang boleh mereka pergi untuk menyelesaikan tugasan penting masing-masing.

Selain Kampung Periok, gangguan talian internet dan komunikasi dialami hampir 5,000 penduduk daripada tiga kampung lain iaitu Kampung Alor Che Ismail, Bechah Resak dan Alor Tal yang bukan tidak mendapat talian Internet, malah gangguan telekomunikasi.

Sementara itu, penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Siti Nuraisyah Ismail, 20, berkata, dia terpaksa memandu kereta menuju ke kawasan parkir di sebuah pasar raya di Kampung Berangan iaitu kira-kira 3 kilometer (km) dari rumahnya di Kampung Alor Che Ismail untuk mengikuti kelas.

"Selain di kawasan parkir pasar raya itu, saya juga sering ke kedai kopi tidak jauh dari rumah. Walaupun liputannya tidak selaju lokasi lain tapi memadai untuk saya memeriksa jadual kelas atau sebarang perkembangan melalui aplikasi WhatsApp.

"Minggu depan saya ada pembentangan yang akan dilakukan secara 'live' dan mungkin saya akan ke rumah saudara di bandar Tumpat kerana sesi itu agak penting dan memerlukan saya berpenampilan formal," kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Sastera itu.

Situasi sukar melayari internet turut dialami peniaga pakaian 'bundle', Mazwan Midin, 30, yang mengakui kerap dimarahi dan dimaki pelanggan kerana lambat membalas mesej dan gagal dihubungi sebaik urusan jual beli berlangsung.

Dia berkata, atas faktor itu dia terpaksa kerap berada di luar kawasan kampung kerana perlu bersedia untuk sebarang maklum balas daripada pembeli, sekali gus menimbulkan kesukaran jika urus niaga itu berlaku pada waktu malam.

"Saya sudah biasa dimarahi pembeli yang menuduh saya susah menjawab panggilan telefon atau tidak membalas WhatsApp sedangkan panggilan atau mesej mereka saya belum terima disebabkan gangguan liputan internet.

"Banyak urusan jual beli dilakukan di tepi jalan dan kedai makan kerana dengan cara itu sahaja perniagaan dapat berlaku dan sebaik pulang ke rumah, telefon bimbit akan terus senyap (tiada liputan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 3:40 PM