Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bermula hari ini mengujakan bagi tiga kanak-kanak dari Kampung Tok Dokang, Banggol di sini.

Dua sepupu, Nur Rania Alisha Mohd Noor Hisham, 10 dan Muhammad Danish Firdaus Rosmadi, 11 bersama seorang jirannya, Siti Nur Batrisya Azman, 10 bangun seawal 8 pagi untuk mengikuti pembelajaran dalam talian selepas sesi pendaftaran berlangsung.

Muhammad Danish Firdaus berkata, hari pertama persekolahan kali ini janggal baginya kerana tidak perlu hadir ke sekolah dan tidak mengenakan pakaian seragam.

"Hari ini sudah ada kerja sekolah yang cikgu berikan dan saya agak teruja malah segera menyiapkan tugasan itu.

"Bagaimanapun saya merindui pembelajaran dalam kelas secara bersemuka dengan guru kerana boleh mengadakan perbincangan atau soal jawab," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagi Siti Nor Azlila Aziz, 40, hari pertama sesi persekolahan kali ini berlainan kerana berbanding tahun lalu dia perlu hadir ke sekolah untuk pendaftaran namun kali ini hanya menggunakan telefon bimbit.

"Sebelum 8 pagi tadi saya perlu mengisi pendaftaran untuk kedua anak yang berada di Tahun Empat dan Tingkatan Satu secara bergilir.

"Selepas itu bermulalah PdPR untuk mereka dan nasib baik ia tidak berlangsung secara serentak kerana mereka bergilir menggunakan telefon bimbit saya dan kebanyakan untuk anak yang bersekolah rendah, guru hanya memberikan kerja sekolah sahaja untuk disiapkan," katanya.

Bagi Ruslina Hussin, 47, pula dia perlu sentiasa memantau telefon bimbit yang digunakan tiga anaknya iaitu seorang bersekolah rendah manakala dua lagi di sekolah menengah bagi memastikan data internet sentiasa mencukupi dan sesi pembelajaran berlangsung dengan lancar.

"Apa yang agak menyukarkan adalah liputan komunikasi di kawasan ini adakalanya bermasalah dan hanya talian tertentu sahaja yang boleh berfungsi dengan baik.

"Bagi anak perempuan saya yang kini di Tahap Empat, kelasnya hari ini masih belum memulakan pembelajaran lagi dan guru hanya memberikan bahan bacaan menerusi aplikasi Whatsapp yang perlu saya muat turun terlebih dahulu," katanya.

Dua sepupu, Nur Rania Alisha Mohd Noor Hisham, 10 (tengah) dan Muhammad Danish Firdaus Rosmadi, 11 (kiri) bersama seorang jirannya, Siti Nur Batrisya Azman, 10 (kanan)  sedang mengikuti pembelajaran bersama-sama dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bermula hari ini agak mengujakan bagi tiga kanak-kanak ketika ditemui di Perkarangan rumahnya di Kampung Tok Dokang, Banggol di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Dua sepupu, Nur Rania Alisha Mohd Noor Hisham, 10 (tengah) dan Muhammad Danish Firdaus Rosmadi, 11 (kiri) bersama seorang jirannya, Siti Nur Batrisya Azman, 10 (kanan) sedang mengikuti pembelajaran bersama-sama dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bermula hari ini agak mengujakan bagi tiga kanak-kanak ketika ditemui di Perkarangan rumahnya di Kampung Tok Dokang, Banggol di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 5:54 PM