Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Hampir 40 pesawah resah memikirkan banjir 'termenung' yang menenggelami 156 hektar sawah milik mereka di Kampung Tersang dan Kampung Luar, Gual Periok, di sini.

Mereka mendakwa banjir termenung sejak dua minggu lalu itu julung kali berlaku walaupun kawasan berkenaan menjadi lokasi bah hampir setiap tahun.

Masalah itu dipercayai disebabkan pembinaan sebuah projek tebatan banjir di kawasan berdekatan.

Ketua Unit (pesawah) Kampung Luar Azli Jaafar berkata, keadaan itu membimbangkan kumpulan pesawah yang sepatutnya mula menanam padi pada awal Januari, namun terpaksa ditunda sehingga Mac atau April tahun hadapan.

"Kami perlu sentiasa bersedia dengan fenomena banjir kerana sudah sedia maklum lokasi berada di kawasan rendah, tetapi bah yang tidak surut mengganggu kami.

"Pihak berwajib yang menjalankan pembangunan seharusnya peka dengan keadaan semasa kerana kami sebagai pesawah teraniaya dan menerima kesan buruk susulan pembangunan yang dijalankan," katanya ketika ditemui di kawasan sawah Kampung Luar, Gual Periok, di sini, hari ini.

SEBAHAGIAN 40 pesawah memantau air banjir 'termenung' yang menenggelami 156 hektar sawah milik mereka di Kampung Tersang dan Kampung Luar, Gual Periok, ketika ditemui di kawasan sawah Kampung Luar, Gual Periok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN 40 pesawah memantau air banjir 'termenung' yang menenggelami 156 hektar sawah milik mereka di Kampung Tersang dan Kampung Luar, Gual Periok, ketika ditemui di kawasan sawah Kampung Luar, Gual Periok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Azli berkata, golongan pesawah tidak menolak sebarang pembangunan malah menerima baik, tetapi ia perlu dirancang sebaiknya supaya tidak memberi kesan negatif kepada mana-mana pihak.

Turut terjejas, pemilik ladang kelapa, Che Nazir Che Soh, 62, yang mengakui akan kerugian sebanyak RM30,000 jika masalah banjir termenung tidak diselesaikan segera kerana ladangnya turut ditenggelami banjir.

Menurutnya, jika tanamannya terus ditenggelami air dalam masa yang lama ia mengakibatkan pokok kelapa yang masih muda rosak dan mengalami kerugian besar.

Sementara itu, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rantau Panjang Johari Rashid berkata, pihaknya sudah membuat pertemuan dan perbincangan dengan pesawah untuk mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini.

"Beberapa perbincangan dirancang dengan agensi berkaitan bagi membantu pesawah di dua penempatan ini kerana kami difahamkan sawah berkenaan satu-satunya menjadi punca pendapatan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 1:22 PM