GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang anggota Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak disahkan positif Covid-19, manakala 22 anggota dikuarantin wajib di balai berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, anggota itu disahkan positif selepas menjalani ujian saringan pertama dan dimasukkan ke wad hospital berhampiran.

Katanya, keseluruhan 39 anggota di BBP itu menjalani ujian saringan Covid-19 dan keputusan 16 orang daripadanya disahkan negatif.

"Setakat ini belum membuat keputusan lagi untuk lock down (tutup) balai berkenaan kerana masih menunggu laporan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

"Saya akan mengadakan perbincangan di peringkat jabatan dan setakat ini dua balai iaitu BBP Aman Jaya dan BBP Yan bersedia untuk membantu sekiranya berlaku sebarang kecemasan di kawasan Guar Chempedak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sayani berkata, setakat ini pihaknya menasihatkan 22 anggota supaya menjalani kuarantin wajib di balai berkenaan selama 14 hari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 4:10 PM