AMBULANS yang terbabas di Kilometer 81.4 Lebuhraya Utara Selatan. FOTO ihsan Bomba
AMBULANS yang terbabas di Kilometer 81.4 Lebuhraya Utara Selatan. FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


ENAM orang cedera selepas ambulans dalam perjalanan dari Sungai Petani menuju ke Alor Setar terbabas akibat tayar pancit di Kilometer 81.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Gurun, hari ini.

Dalam kejadian 6.20 petang itu, mangsa terdiri daripada seorang pesakit, 65; waris pesakit, 54; doktor, 30; jururawat, 20; pembantu perubatan dan pemandu ambulans, 40.

Mereka dipercayai dalam perjalanan dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani menuju ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk membawa pesakit berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Safuwan Mohd Saad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.31 petang dan tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Beliau berkata, setibanya di lokasi didapati ada berlaku kemalangan dan didapati ada enam mangsa di dalam kenderaan itu.

"Dua daripadanya iaitu pemandu ambulans serta pembantu perubatan dihantar ke HSAH di Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan.

"Manakala empat lagi mangsa iaitu doktor, jururawat, waris dan pesakit dibawa ke HSB di Alor Setar untuk rawatan lanjut, dengan menaiki ambulans lain yang tiba sebelum pasukan bomba tiba," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 9:02 PM