Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Projek tanaman tebu, buah-buahan dan sayur-sayuran yang diusahakan pegawai dan anggota di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu kini membuahkan hasil dan memberi hasil yang menguntungkan.

Ketua BBP Pokok Sena, Azrul Musa berkata tanaman yang diusahakan di belakang balai itu sudah boleh dijual kepada orang ramai dan memberikan hasil sebanyak dua kali.

Katanya, dia bersama anggotanya yang bertugas bergilir mengikut syif setiap hari akan melakukan aktiviti berkebun sekiranya ada masa lapang dan tiada operasi dilakukan.

"Selain itu, kami turut menanam pokok durian Musang King, D24, tangkai panjang, pokok durian belanda, petai, pokok cempedak, matoa (Kristal Sarawak), pokok rambutan, manggis, kelapa pandan, ciku, limau kasturi, jambu batu yang menunggu masa untuk matang.

"Tanaman lain seperti pokok buah tampoi, pokok jentik, pokok bidara mulberi, dokong pula masih di peringkat tumbesaran," katanya ketika ditemui di BBP Pokok Sena, di sini hari ini.

Beliau yang juga penyelaras projek tanaman berkenaan, berkata, mereka turut menanam sayur-sayuran seperti terung, kangkung, pegaga, serai, kantan, cili, salad, sawi, kunyit dan pokok daun kucai di kawasan tepi balai.

SAYANI (kanan) bersama pegawai dan anggota BBP Pokok Sena dengan hasil pisang udang merah yang kawasan kebun diusahakan di belakang balai berkenaan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SAYANI (kanan) bersama pegawai dan anggota BBP Pokok Sena dengan hasil pisang udang merah yang kawasan kebun diusahakan di belakang balai berkenaan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Katanya, selain itu, pokok tanaman herba seperti misai kucing, cekur, temulawak, belalai gajah, lengkuas hitam, pokok tetulang, pokok geli-geli, bisa ular, pudina, selasih, kunyit hitam dan mahkota sewa turut ditanam di situ.

"Setakat ini sayur-sayuran dan tanaman herba yang ditanam di kawasan balai hanya untuk kegunaan sendiri anggota BBP Pokok Sena untuk dimasak bersama pasukan mengikut syif setiap hari selain jualan di kalangan mereka.

"Wang yang diperoleh akan dimasukkan ke dalam tabung dana balai bagi kegunaan aktiviti yang kami lakukan selain pusingan modal untuk membeli baja, benih pokok dan sebagainya," katanya.

"Tanaman anggur dan buah markisa kami usahakan juga sudah berbuah dan boleh diambil hasilnya dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

"Selain itu kami turut memelihara ikan puyu, talapia, keli di kolam serta longkang di kawasan balai untuk menikmati hasil bersama di kalangan kami," katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, setakat ini terdapat 15 BBP di negeri ini menjalankan projek tanaman dalam bandar untuk kegunaan anggota di balai berkenaan selain dana keperluan untuk mereka.

Beliau berkata, antara BBP terbabit dengan projek tanaman dalam bandar adalah Alor Setar, Sik, Kuala Nerang, Jitra, Pendang, Pokok Sena, Yan, Bukit Kayu Hitam, Sungai Petani, Serdang, Kulim Hi-Tech, Aman Jaya dan Guar Chempedak dan Kulim.

"Mereka turut mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada pegawai Jabatan Pertanian di daerah masing-masing berkaitan penjagaan tanaman dari rosak dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 11:37 AM