JALAN dari Kuala Tahan ke Ulu Tembeling yang mendap dan runtuh. FOTO Roselan Ab Malek
JALAN dari Kuala Tahan ke Ulu Tembeling yang mendap dan runtuh. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek

Jerantut: Kira-kira 2,000 penduduk berapa perkampungan di Ulu Tembeling bimbang terputus hubungan memandangkan beberapa lokasi di Jalan Kuala Tahan-Ulu Tembeling mendap.

Ia membabitkan beberapa lokasi di Jalan Kuala Tahan yang digunakan penduduk di Ulu Tembeling untuk berurusan ke Kuala Tahan dan bandar Jerantut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Kuala Sat Abdul Jabar Dollah berkata, kejadian berlaku sejak seminggu lalu apabila hujan tanpa henti menyebabkan aliran air menghakis tebing bukit.

"Ada lima mendapan yang semakin teruk menyebabkan kenderaan yang melaluinya tersangkut malah berlaku runtuhan tebing.

"Jika ia tidak dibaiki segera, mendapan itu mungkin boleh menyebabkan tanah runtuh selain penduduk terperangkap dan tidak boleh keluar membeli barangan keperluan," katanya.

Sementara itu, penduduk, Zamri Mohd Amin, 53, jalan berkenaan merupakan satu-satunya jalan perhubungan yang ada bagi penduduk Kampung Pagi, Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai.

"Walaupun boleh menggunakan sungai namun ia amat berbahaya kerana paras air meningkat susulan hujan lebat.

"Beberapa kenderaan ringan turut tersangkut di kawasan tanah mendap. Kami harap ia segera dibaiki untuk mengelak berlaku perkara lebih buruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 5:02 PM