PENDUDUK bergotong-royong membaiki sendiri laluan mendap. FOTO Roselan Ab Malek
PENDUDUK bergotong-royong membaiki sendiri laluan mendap. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Jerantut: Penduduk Kampung Kuala Sat, di sini, mengambil inisiatif membaiki sendiri laluan Kuala Tahan ke Ulu Tembeling yang mendap bagi memastikan ia selamat digunakan kenderaan kecil.

Minggu lalu, kira-kira 2,000 penduduk dari beberapa kampung di Ulu Tembeling bimbang terputus hubungan apabila beberapa lokasi di laluan itu mula mendap selain tebing runtuh disebabkan hujan.

Jalan Kuala Tahan ke berapa kampung di Ulu Tembeling sejauh 90 kilometer itu digunakan oleh penduduk untuk berurusan ke Kuala Tahan dan bandar Jerantut.

Laluan itu juga satu-satunya penghubung yang ada bagi penduduk Kampung Pagi, Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai.

Sebelum ini memang pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Jerantut mengambil tindakan membaiki jalan rosak itu namun masih berlaku mendapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah berkata, beberapa hari selepas dibaiki, laluan itu kembali rosak apabila berlaku mendapan.

Katanya, terdapat kira-kira lima mendapan yang semakin teruk menyebabkan kenderaan tersangkut dan ini meresahkan penduduk kampung.

"Jika tidak dibaiki segera, mendapan itu boleh menyebabkan tanah runtuh. Penduduk risau terputus hubungan ke bandar Jerantut membeli barang keperluan.

"Pada masa ini banyak lokasi semakin mendap malah ada berlaku runtuhan tanah yang jika berterusan, saya bimbang kenderaan tidak dapat keluar masuk," katanya di sini, hari ini.

Abdul Jabar berkata, ramai penduduk Ulu Tembeling menggunakan laluan itu setiap hari untuk ke bandar Jerantut dan merungut kereta mereka tersangkut di kawasan Bukit Awan disebabkan tanah mendap.

"Jadi saya dan ahli jawatankuasa Kampung Kuala Sat bergotong-royong bersama penduduk untuk kemudahan bersama apabila melalui kawasan itu," katanya.

Menurutnya, gotong-royong dilakukan sekadar termampu iaitu menambah batu pada tempat mendap bagi mengelak kereta tersangkut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 7:16 PM