Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan terhadap kilang YTY dan asrama pekerja, di Lekir, Sitiawan, Perak selama dua minggu bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan itu susulan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

"Sehingga 14 Mac lalu, KKM sudah melaksanakan 162 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 60 kes positif direkodkan.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kilang YTY dan asrama pekerjanya bermula esok hingga 1 April ini,"katanya dalam sidang media, hari ini.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Pelaksanaan PKPD itu, katanya, untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan dua minggu lagi.

"KKM sudah melaksanakan 602 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 27 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Kementerian itu mengesahkan masih berlaku peningkatan kes dalam kalangan penghuni dan terdapat baki 171 sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan, justeru PKPD di lokaliti terbabit dilanjutkan bermula 20 Mac sehingga 2 April ini," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 7:10 PM