SEBANYAK 55 bungkusan air ketum dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Udang yang turut membabitkan seorang penjawat awam. FOTO IHSAN PDRM
SEBANYAK 55 bungkusan air ketum dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Udang yang turut membabitkan seorang penjawat awam. FOTO IHSAN PDRM
Amir Mamat


Melaka: Seorang penjawat awam antara empat individu yang ditahan bersama 55 bungkus air ketum dalam serbuan di sebuah premis di Taman Terendak Permai, Sungai Udang di sini.

Dalam serbuan jam 9 malam tadi, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, berjaya menahan semua suspek berusia antara 29 hingga 60 tahun kerana memiliki 55 bungkus air ketum.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, salah seorang lelaki diberkas adalah penjawat awam berusia 45 tahun yang berkhidmat di sebuah jabatan kerajaan di negeri ini.

Katanya, susulan tangkapan itu, semua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 31(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksium empat tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Abdul Majid berkata, pihak polis turut menjalankan serbuan di dua premis pusat hiburan di sekitar Taman Melaka Raya, di sini, pada tengah malam, Jumaat lalu.

Katanya, dalam serbuan itu polis menahan 10 lelaki dan empat wanita dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Semua suspek itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh badan.

"Dua lelaki dan empat wanita warganegara asing yang turut ditahan dalam operasi yang sama akan disiasat mengikut Seksyen 55B dan 39(b) Akta Imigresen 1959/63, manakala 31 individu lagi yang berada dalam premis itu dikenakan kompaun mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No.8) (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 6:27 PM