GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nuraliawati Sabri


Melaka: Tujuh penjawat awam antara 80 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya, di sini, semalam.

Kesemua mereka ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, kira-kira 1.20 pagi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, daripada jumlah pengunjung yang ditahan, 30 adalah wanita dengan kesemua mereka berusia 17 hingga 62 tahun.

"Saringan ujian air kencing dijalankan ke atas kesemua mereka mendapati lima individu termasuk seorang lelaki didapati positif methamphetamine.

"Manakala hasil ujian air kencing ke atas semua tujuh penjawat awam lelaki itu pula didapati negatif," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 65 kompaun berjumlah RM4,000 setiap orang turut dikeluarkan kepada pengunjung warga tempatan.

"Manakala penjaga premis pula dikenakan kompaun berjumlah RM10,000 selain turut disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Katanya, mereka yang didapati positif disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Untuk tangkapan bagi warga asing pula, mereka disiasat Seksyen 15(1)(C) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 4:09 PM