Noorzainy (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan air ketum yang dirampas.
Noorzainy (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan air ketum yang dirampas.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Sekali pandang ia tidak ubah seperti warung yang baru dibuka, namun pemeriksaan mendapati khemah yang terpacak di sebelah pasar mini itu sebenarnya dijadikan markas penjualan air ketum di sebuah tanah rancangan FELDA di daerah ini, kelmarin.

Khemah berkenaan didirikan sejak sebulan lalu dan turut dijadikan sebagai pusat sehenti dengan orang ramai singgah sambil menikmati air ketum, selain membungkus untuk dibawa pulang ke rumah.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar apabila polis melakukan serbuan dan menahan 29 individu termasuk dua wanita berusia 50 dan 24 tahun yang masing-masing pemilik dan tukang masak air ketum gerai berkenaan.

Serbuan dilakukan dalam Op Tapis bermula jam 9 hingga 11 malam turut menahan lima pelajar dan seorang penuntut kolej.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, semua yang ditahan berusia antara 15 hingga 54 tahun.

Katanya, serbuan dilakukan selepas risikan dijalankan dan maklumat awam mengenai kelibat ramai berkumpul di khemah berkenaan setiap hari.

“Hasil siasatan mendapati penjualan air ketum berkenaan bermula sejak sebulan lalu. Selain minum beramai-ramai, ada pelanggan membeli untuk dibawa pulang ke rumah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, di sini, semalam.

Noorzainy berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 112 bungkus air ketum dan dua botol cecair berjumlah 144.75 liter dengan setiap satu liter dijual pada harga RM12.

“Polis tidak menolak kemungkinan bekalan daun ketum dibeli dari Pahang. Soal siasat terhadap pelajar ditahan mendapati mereka datang untuk minum bersama rakan lain.

“Malah, empat daripada mereka yang ditahan turut positif dadah. Semua suspek direman empat hari bermula hari ini (semalam) hingga Ahad.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 3(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Penagihan Dadah 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 10:15 AM