MOKHTAR Hashim. FOTO arkib NSTP
MOKHTAR Hashim. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Mokhtar Hashim meninggal dunia pada usia 78 tahun, hari ini.

Perkara itu disahkan oleh anak saudaranya, Ahmad Hafiz Abdul Raffar menerusi satu hantaran Facebook.

Menurut Ahmad Hafiz, Allahyarham meninggal dunia pada 3.10 pagi.

"Bagi pihak keluarga, ingin saya maklumkam kepulangan ayahanda tercinta kami (Datuk Mokhtar Hashim) ke rahmatullah pada 3.10 pagi tadi.

"Urusan solat jenazah dan pengebumian akan dimaklumkan. Seterusnya mohon bersama-sama kita mendoakan agar roh beliau sentiasa dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

"Hanya lafaz takziah serta doa yang mampu diucapkan dari kejauhan buat ahli keluarga Allahyarham," katanya.

Difahamkan Allahyarham meninggal dunia di Hospital Ampang.

Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail di sini, dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Mokhtar yang menyertai UMNO pada 1967, dipilih menjadi Ahli Parlimen Rembau-Tampin menerusi pilihan raya kecil pada 1972.

Beliau seterusnya memenangi kerusi Parlimen Tampin pada Pilihan Raya Umum 1974 dan 1978.

Allahyarham dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dari 1972 hingga 1974, Timbalan Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (1974-1976), Timbalan Menteri Pertahanan (1976), Timbalan Menteri Luar I (1977) serta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1981-1983).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 11:36 AM