ALLAHYARHAM Tan Sri Sabbaruddin Chik. FOTO Bernama
ALLAHYARHAM Tan Sri Sabbaruddin Chik. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik disifatkan insan penting dalam perjalanan kerjaya politik Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri sebelum ini pernah memuat naik catatan di Facebook dengan menggelarkan Allahyarham Sabbaruddin sebagai 'sifu' serta mentor politiknya dan juga individu yang melantik beliau sebagai Ketua Penerangan Bahagian Temerloh pada usia 27 tahun.

Allahyarham Sabbaruddin yang akan menyambut ulang tahun ke-80 pada 11 Disember ini, menghembuskan nafas terakhir pada 7.45 malam Sabtu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selepas seminggu dimasukkan ke pusat rawatan itu.

Dilahirkan di Kampung Paya Banir, Temerloh, Pahang pada 1941, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bintang di Temerloh dan Kolej Melayu Kuala Kangsar di Perak serta pernah melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Sosial, The Hague, Belanda dalam bidang pentadbiran awam.

Sabbaruddin memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada 1966 sebagai Penolong Setiausaha Negeri Sembilan dan pernah menjadi Konsul Besar Malaysia di Saigon, Vietnam pada 1967.

Pada 1975, Allahyarham dilantik sebagai Pengarah Unit Perancangan di Jabatan Perdana Menteri, sebelum menjadi Pengarah Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan dan Industri untuk tempoh tiga tahun dari 1976.

Allahyarham diberi kepercayaan menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan dari 1982-1987, dan sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dari 1987 hingga 1999, sebelum meletak jawatan atas faktor kesihatan.

Dalam sektor swasta pula, Sabbaruddin pernah menjadi Pengerusi Bank Rakyat pada 2012 dan pada 2016 sebagai Pengerusi Amanah Raya Berhad.

Menelusuri sejarah politiknya, Allahyarham memulakan karier politiknya selepas bertanding di Parlimen Temerloh dan memegang kerusi itu dari 1982 hingga 1999.

Allahyarham menyertai Umno pada 1973 dan antara jawatan penting yang pernah disandang adalah sebagai Setiausaha Agung Umno selama tiga tahun dari 1996, Ketua Umno Bahagian Temerloh pada 1984 dan Ahli Majlis Tertinggi Umno dari 1984 hingga 1996.

Sabbaruddin dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada Jun 2000.

Bagi kehidupan peribadinya, Allahyarham mendirikan rumah tangga bersama Allahyarhamah Puan Sri Faridah Mohamed dan dikurniakan empat cahaya mata.

Berita berkaitan:

  • 'Allahyarham episod penting perjuangan saya dalam politik' - PM
  • Jenazah Allahyarham Sabbaruddin dikebumi esok
  • Sabbaruddin Chik meninggal dunia
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 12:54 AM