ALLAHYARHAM Tan Sri Abdul Aziz Tapa. FOTO NSTP
ALLAHYARHAM Tan Sri Abdul Aziz Tapa. FOTO NSTP
Amir Mamat


Melaka: Veteran UMNO, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, 94, meninggal dunia akibat paru-paru berair di Hospital Pakar Putra Melaka di sini , hari ini.

Beliau yang terlantar uzur sejak beberapa bulan lalu, menghembuskan nafas terakhir pada 11.55 pagi di samping beberapa ahli keluarganya.

Allahyarham yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeru Melaka itu, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rim, Jasin, selepas solat Asar, hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Maznah Lasim dan sembilan anak, termasuk Pengarah PEMBELA Barisan Nasional (BN) negeri, Amir Hamzah dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Imanuddin.

Amir Hamzah, 57, ketika dihubungi berkata, ayahnya kerap dimasukkan ke hospital, termasuk di Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan penyakitnya itu dan kali terakhir adalah Ahad lalu di Hospital Pakar Putra Melaka.

"Pada Ahad lalu, Allahyarham dimasukkan ke hospital kerana keadaan kesihatannya merosot. Kesihatannya stabil selepas beberapa hari dirawat, namun keadaannya kembali merosot sejak pagi tadi dan meninggal dunia 11.55 pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat negeri ini, khususnya ahli UMNO.

Katanya, ini kerana Allahyarham banyak berjasa, bukan sahaja untuk negeri kelahirannya, bahkan untuk negara.

"Saya mewakili seluruh rakyat Melaka merakamkan ucapan takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Tabahlah di atas kehilangan ini. Semoga roh Allahyarham Tan Sri tenang dipelihara Allah SWT," katanya.

Abdul Aziz, berasal dari Kampung Rim, adalah anggota UMNO yang aktif pada era 70-an dan 80-an dan pernah menyandang beberapa jawatan penting, antaranya Ahli Dewan Negara pada tahun 1975 hingga 1977, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka (tahun 1978-1982) dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Nyalas (tahun 1978-1982).

Dilahirkan pada 13 Jun 1923, beliau memulakan kerjaya sebagai askar sukarela di Rejimen Polis Kem Port Dickson pada 1940 sebelum menjadi guru antara tahun 1945 hingga 1974 dengan jawatan terakhir sebagai guru besar di Sekolah Rendah Kebangsaan Alor Gajah, Melaka.

Pembabitannya dalam politik pula bermula seawal sebelum negara mencapai kemerdekaan iaitu dengan menyertai Persatuan Melayu Semenanjung Johor cawangan Melaka, sebuah gerakan anti-Malayan Union yang diketuai oleh Datuk Onn Jaafar pada tahun 1946 dan kemudian menganggotai UMNO selepas parti itu ditubuhkan.

Beliau turut memegang beberapa jawatan dalam UMNO antaranya sebagai Bendahari UMNO cawangan Merlimau pada 1955, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin (1974), Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin (1978) serta Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka (1978-1986).

Selain daripada politik, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan lain antaranya Ahli Majlis Penasihat Kebudayaan Kebangsaan (1972-1996), Ahli Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara (1976-1988), Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (1978) dan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Amanah Rakyat (1975-1977).

Abdul Aziz sebelum ini juga pernah menerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan dan peringkat Negeri Melaka pada tahun 1986, Anugerah Tokoh Budaya Negeri Melaka (tahun 2003), Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1427H/2006M peringkat negeri (2006) dan terakhir adalah Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2016 sempena sambutan Hari UMNO ke-70, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 2:07 PM