Nurul Fatihah Sulaini


Permaisuri: Setiu menjadi daerah pertama membuka pusat pemindahan sementara (PPS) apabila Felda Chalok Barat dan Kampung Bukit Nyior, Pelong dinaiki air, sejak malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Kapten (PA) Mohd Nizu Husien berkata, PPS pertama dibuka sejak 11 malam di Surau Kampung Bukit Nyior, Pelong.

Katanya, seramai 37 mangsa banjir daripada 10 keluarga dipindahkan ke situ selepas rumah mereka dinaiki air.

"PPS kedua dibuka sejak 11.30 malam tadi di balai raya Kampung Sungai Lerek.

"Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan adalah seramai tujuh orang terdiri daripada satu keluarga," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Nizu berkata, berdasarkan keadaan cuaca semasa yang masih hujan, pihaknya menjangka lebih ramai penduduk akan dipindahkan ke PPS secara berperingkat.

Katanya, cuaca masih hujan di Setiu dan keadaan hujan dipantau rapi.

"Kita nasihatkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan keluarga dengan segera berpindah jika kediaman mereka mula dinaiki air," katanya.

Beliau berkata, stesen Kampung Seri Kenangan mendapati jalan Pengkalan Merbau ke Pelong dinaiki air pada paras satu meter pada 7.30 pagi ini.

"Laluan itu ditutup kepada semua kenderaan dan pengguna jalan diminta menggunakan laluan alternatif yang lain," katanya.

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) Setiu sedang melakukan operasi memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Setiu. FOTO Ihsan APM Setiu
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) Setiu sedang melakukan operasi memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Setiu. FOTO Ihsan APM Setiu

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 8:38 AM