ANGGOTA APM Padang Terap melakukan operasi memindahkan mangsa banjir di daerah itu. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM Padang Terap melakukan operasi memindahkan mangsa banjir di daerah itu. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini mencatatkan seramai 258 orang dari 80 keluarga di tiga daerah iaitu Sik, Baling dan Padang Terap.

Bagaimanapun, jumlah mangsa menurun di Sik apabila hanya tinggal 10 mangsa dari tiga keluarga di PPS Gulau berbanding 61 mangsa dari 15 keluarga di daerah itu sebelum ini.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, daerah Baling masih mencatatkan jumlah mangsa yang ramai iaitu 183 dari 70 keluarga yang dipindahkan ke PPS di daerah itu.

Beliau berkata, satu lagi PPS dibuka iaitu di daerah Padang Terap yang membabitkan 35 mangsa dari tujuh keluarga di Kampung Pokok Machang, Mukim Padang Temak.

"Kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tampoi selepas rumah mereka dinaiki air dalam banjir kilat yang melanda hari ini.

"Jumlah rumah yang terjejas adalah tujuh rumah di kawasan berkenaan berikutan hujan lebat selama dua jam sejak 6 petang tadi," katanya.

Saifuddin berkata, SK Bukit Tampoi dibuka jam 8 malam tadi dan menempatkan semua mangsa yang terjejas dalam banjir kilat.

"Hujan lebat sejak petang tadi menyebabkan sesetengah kawasan dinaiki air. Limpahan air sungai Padang Terap akibat hujan lebat menyebabkan kawasan berhampiran dinaiki air di Kampung Pokok Machang.

"Sehingga jam 10 malam ini, operasi pemindahan mangsa banjir sedang dilakukan.

"Sebelum ini media melaporkan seramai 244 mangsa banjir membabitkan 85 keluarga masih ditempatkan di sembilan Pusat Pemindahan Banjir (PPS) yang dibuka sejak semalam di Baling dan Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 11:18 PM