APMM Zon Kuala Perlis merampas 300 kg ganja dan 1.5 tan daun ketum bernilai RM1.9 juta. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
APMM Zon Kuala Perlis merampas 300 kg ganja dan 1.5 tan daun ketum bernilai RM1.9 juta. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup 300 kilogram ganja dan 1.5 tan daun ketum pada Op Khas di perairan Kuala Perlis kelmarin, dan tengah malam tadi.

Pengarah APMM Kedah/Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pada operasi pertama jam 4.20 pagi Ahad lalu, pihaknya memintas sebuah bot dari Thailand di kedudukan 2.7 batu nautika di barat laut pantai Kuala Sanglang.

"Bot terbabit menukar haluan ke hutan bakau selepas menyedari kehadiran bot APMM yang cuba memintas untuk melakukan pemeriksaan.

"Semua awak-awak bot terbabit terjun ke laut dan berenang ke kawasan hutan bakau.

"Pemeriksaan ke atas bot itu kemudiannya menemui 17 ketulan ganja cuba diseludup ke negara ini," katanya pada kenyataan hari ini.

Mohd Zawawi berkata, pada operasi kedua jam 12.15 tengah malam tadi, pihaknya mengesan se buah bot dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 0.5 batu nautika dari muara Kuala Perlis.

Katanya, penyeludup mengemudi bot ke arah pantai sebelum meluncurkannya ke darat.

"Pemeriksaan menemui 148 guni daun ketum seberat 1.5 tan dalam bot itu. Kami percaya berlaku transaksi sistem tukar barang antara penyeludup daun ketum di negara ini dan penyeludup ganja negara jiran di sempadan perairan Malaysia-Thailand.

"Kami juga percaya, dalang utama sindiket terbabit adalah dalam kalangan warga tempatan dan warga asing yang berada sekitar Kedah serta Perlis," katanya.

Mohd Zawawi berkata, jumlah rampasan barangan terlarang itu, termasuk dua bot, lebih RM1.9 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 7:17 PM