APMM Kuala Perlis berjaya merampas 100kg daun ketum dan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran yang cuba dibawa keluar ke Thailand melalui perairan sempadan Malaysia-Thailand di Kuala Perlis. FOTO IHSAN APMM Zon Maritim Kuala Perlis.
APMM Kuala Perlis berjaya merampas 100kg daun ketum dan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran yang cuba dibawa keluar ke Thailand melalui perairan sempadan Malaysia-Thailand di Kuala Perlis. FOTO IHSAN APMM Zon Maritim Kuala Perlis.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Perlis merampas kira-kira 100 kilogram (kg) daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand di perairan Kuala Perlis di sini, jam 7.35 pagi tadi.

Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, ketika kejadian, pihaknya sedang meronda sebelum mengesan seorang lelaki sedang mengemudi bot kayu ke arah perairan sempadan Thailand.

"Kami mengekori bot itu dan sebaik menyedari diekori, suspek menukar haluan menuju ke kawasan daratan.

"Suspek kemudiannya terjun ke laut sebelum berenang ke hutan bakau berhampiran. Kami tidak dapat menahannya kerana kawasan perairan yang cetek serta berlumpur," katanya pada kenyataan.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas bot itu menemui sembilan bungkus plastik mengandungi daun ketum bernilai kira-kira RM10,000.

Beliau berkata, penyeludup juga mengaplikasi taktik baru dengan menggunakan bot kayu enjin sangkut bergalah serta membawa hanya sedikit daun ketum.

"Penyeludup mengecilkan jumlah muatan berikutan banyak kali gagal menyeludupnya seterusnya menanggung kerugian.

"Penyeludup juga menggunakan keadaan muka bumi pantai Kuala Perlis yang berpaya serta berlumpur sebagai laluan untuk meloloskan diri," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 5:05 PM