Zon Maritim Kuala Perlis berjaya merampas 400 kg daun ketum di dalam sebuah bot di Kuala Perlis. FOTO IHSAN APMM ZON MARITIM KUALA PERLIS
Zon Maritim Kuala Perlis berjaya merampas 400 kg daun ketum di dalam sebuah bot di Kuala Perlis. FOTO IHSAN APMM ZON MARITIM KUALA PERLIS
Oleh Aizat Sharif


Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis merampas 400 kilogram (kg) daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand di Kuala Perlis di sini, petang semalam.

Rampasan hasil maklumat awam dan risikan itu dilakukan di kedudukan 0.3 batu nautika dari muara Sungai Kuala Perlis.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, tiba di lokasi jam 6.45 petang, pihaknya mendapati seorang lelaki sedang mengemudi bot fiber keluar dari muara Kuala Perlis menuju ke arah sempadan perairan Malaysia-Thailand.

"Sebaik menyedari kehadiran kami, suspek berpatah balik dengan menukar haluan ke arah muara Sungai Kuala Perlis dan terus merapat di jeti nelayan," katanya pada kenyataan hari ini.

Suspek kemudiannya melarikan diri ke darat.

Untuk rekod, ini rampasan ke-12 membabitkan daun ketum pada tahun ini bagi APMM Zon Maritim Kuala Perlis dengan nilai keseluruhan rampasan lebih RM1 juta membabitkan 5.5 tan daun ketum.

"Pemeriksaan ke atas bot diubah suai itu menemukan sejumlah bungkusan daun ketum di belakang dan hadapannya," katanya.

Menurut beliau, faktor jarak yang dekat antara Perlis dan Thailand merancakkan aktiviti penyeludupan daun ketum ke Thailand.

"Selain itu, Thailand kini sudah membenarkan pengambilan ketum bagi digunakan dalam rawatan herba daripada senarai dadah berbahaya.

"Perkembangan ini membolehkan daun ketum digunakan secara terbuka selain menjadi faktor pendorong kepada permintaannya," katanya.

Mohd Shafie berkata, nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM87,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan itu.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya.

DAUN ketum yang dirampas.
DAUN ketum yang dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 2:43 PM