Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Cubaan dua lelaki tempatan untuk menyeludup keluar kira-kira satu tan daun ketum ke negara jiran menggunakan laluan laut gagal apabila kegiatan mereka berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 0.3 batu nautika dari muara Kuala Jerlun di sini, pagi semalam.

Pengarah APMM Kedah/Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, sebuah bot ronda APMM Malaysia digerakkan dan berjaya mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran keluar dari Kuala Jerlun serta bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak melarikan diri dengan menukar haluan dan memecut ke daratan.

"Suspek kemudiannya bertindak nekad dengan terjun ke laut dan berenang melarikan diri ke kawasan bakau yang berlumpur berhampiran untuk meloloskan diri.

"Hasil pemeriksaan terhadap bot itu ditemukan 90 bungkusan plastik hitam yang disyaki berisi daun ketum dengan beratnya kira-kira satu tan bernilai RM180,000," katanya ketika sidang media di Kuala Kedah di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, siasatan awal mendapati kesemua daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran menggunakan laluan laut.

Menurutnya, maklumat risikan juga mendapati harga pasaran semasa daun ketum di Thailand mencecah RM180 sekilogram berbanding harga pasaran di negara ini hanya RM40.

"Ia menyebabkan ada yang sanggup diupah untuk menyeludup daun ketum ke Thailand bagi mendapat keuntungan dan upah berlipat kali ganda.

"Modus operandi yang dilakukan sindiket penyeludupan daun ketum ini ialah dengan menggunakan laluan laut disebabkan negara kita masih lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) menyebabkan laluan darat diperketatkan," katanya.

MOHD Zawawi Abdullah (tengah) menunjukkan sebahagian rampasan daun ketum dengan berat hampir satu tan berjumlah RM180,000 yang dirampas di perairan Kuala Jerlun. FOTO Luqman Hakim Zubir
MOHD Zawawi Abdullah (tengah) menunjukkan sebahagian rampasan daun ketum dengan berat hampir satu tan berjumlah RM180,000 yang dirampas di perairan Kuala Jerlun. FOTO Luqman Hakim Zubir

Mohd Zawawi berkata, kesemua hasil rampasan bersama bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM230,000 itu dibawa ke jeti Zon APMM Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan berkenaan.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 3:10 PM