ANTARA babak menarik dalam Helo Jodoh.
ANTARA babak menarik dalam Helo Jodoh.
Syafil Syazwan Jefri


Pelakon Riena Diana yang semakin aktif dalam lakonan dan baru sahaja membintangi watak antagonis di dalam drama Wanita Syurga di TV3, kini tampil dengan drama bergenre romantik komedi terbaharu dalam Helo Jodoh.

Riena yang membawa watak utama dalam drama bersiri 13 Episod di Lestary TV3 setiap Khamis hingga Sabtu jam 9 malam bermula semalam.

Mendokong watak sebagai Rita, dia seorang wanita yang berjuang untuk mencapai impian dan dalam masa yang sama dikelilingi oleh lelaki-lelaki yang ingin memikatnya.

Riena dalam satu temubual berkata

dia bertuah kerana diberi tanggungjawab membawakan watak dalam drama itu sekali gus mencerminkan dilema yang dilalui segelintir kaum wanita dalam kehidupan ketika ini.

"Saya gembira membawakan watak sebagai Rita ini kerana ianya seperti menggambarkan situasi sebenar kehidupan rata-rata gadis yang perlu berhadapan untuk membuat pilihan kehidupan berkaitan dengan jodoh dan kerjaya.

HELO Jodoh arahan Azmi Mohd Hata.
HELO Jodoh arahan Azmi Mohd Hata.

"Saya berharap agar drama ini dapat memberikan hiburan kepada penonton dan dalam masa yang sama memberikan mereka pengajaran,'' katanya.

Selain Riena drama terbitan Orangetree Production arahan Azmi Mohd Hata menampilkan barisan pelakon hebat tanah air antaranya Syarul Ezani, Fendy Bakry, Shaza Bae, Enot, Esma Daniel, Shamsul Ghau Ghau, Wan Nor Azlin dan ramai lagi.

Helo Jodoh mengisahkan Rita yang bercita-cita untuk menjadi DJ Radio tetapi terpaksa menangguhkan impiannya.

Kini, Rita bekerja sebagai staf khidmat pelanggan untuk sebuah aplikasi Helo Jodoh.

Iskandar lakonan Syarul Ezani dan Rita disatukan dalam program mentor-mentee untuk membantu Rita mendalami pekerjaan baharunya. Mereka ditugaskan untuk membantu pengguna aplikasi yang berhadapan dengan masalah cinta.

Pada mulanya, Rita terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah dan kerenah manusia seperti bosnya Puan Rozy (Enot) dan suaminya Mr Roy (Esma Daniel).

RIENA Diana teraju Helo Jodoh.
RIENA Diana teraju Helo Jodoh.

Kemunculan selebriti popular bernama Zack (Fendy Bakry) pula berjaya menambahkan lagi rempah ratus dan warna warna kehidupan Rita.

Apabila Rita baru sahaja hendak membuka langkah mengejar impiannya, muncul pula seorang gadis 'glamor' dan cantik bernama Cassandra (Shaza Bae) yang juga mempunyai impian yang sama, sekali gus menjadi saingan kepada Rita yang mengejar impian, cita-cita dan cinta yang sama.

Saksikan Helo Jodoh di Lestary TV3 dan strim menerusi Tonton di laman web, muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Maklumat terkini mengenai drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 6:11 AM