MOHAMAD Yusrizal Yusoff (kanan) ketika melakukan tinjauan harga barang di Pasar Besar Alor Setar hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MOHAMAD Yusrizal Yusoff (kanan) ketika melakukan tinjauan harga barang di Pasar Besar Alor Setar hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) mendapati berlaku kenaikan harga barang keperluan di Kota Setar selepas beberapa hari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kenaikan harga itu dikesan pihaknya selepas membuat tinjauan di Pasar Besar Alor Setar susulan aduan dibuat orang ramai serta peruncit tempatan.

Katanya, antara yang naik harga ialah telur gred A daripada RM3.10 kepada RM3.40, gred B daripada RM2.90 kepada RM3.10 manakala gred C daripada RM2.70 naik kepada RM2.90.

"Selain itu, harga bawang besar naik daripada RM3.50 kepada RM4 sekilogram dan bawang merah daripada RM6 kepada RM8 sekilogram.

"Turut naik halia daripada RM10 kepada RM13 sekilogram, cili besar daripada RM12 kepada RM15 sekilogram dan cili daripada RM15 kepada RM18," katanya ditemui selepas melakukan tinjauan di pasar itu, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Yusrizal berkata, kenaikan itu sepatutnya tidak berlaku berikutan ramai pengguna dalam kesempitan akibat kehilangan kerja dan pendapatan terjejas.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada peniaga dan peruncit, mereka terpaksa menaikkan harga berikutan kenaikan harga daripada pemborong.

"Selain itu, ada juga peniaga meluahkan perasaan kecewa apabila terdapat bekalan bawang diterima daripada pemborong sudah buruk. Contoh, dalam seguni pasti ada kira-kira sekilogram bawang yang buruk, ia merugikan mereka.

"Begitu juga dengan harga telur, peruncit terpaksa jual harga atas pagar iaitu hanya untung satu sen sahaja bagi setiap biji telur.

"Kita minta pihak berkuasa ambil tindakan terhadap pemborong supaya tidak mengambil kesempatan ketika rakyat sedang berdepan pandemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 3:05 PM