PELANGGAN memilih bawang besar di kedai runcit di Pekan Jitra Lama, semalam. FOTO Amran Hamid
PELANGGAN memilih bawang besar di kedai runcit di Pekan Jitra Lama, semalam. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman

HARGA bawang dan telur di Kubang Pasu didapati naik akibat bekalan yang berkurangan.

Tinjauan di beberapa kedai runcit juga mendapati peniaga tidak lagi menjual bawang kecil, manakala harga bawang besar naik dari RM7 sekilogram kepada RM10.

Peruncit dan pemborong, Mohamad Ali Jinah Mohamed Abbu Baker, 70, berkata, bekalan bawang kecil itu terputus sejak dua minggu lalu.

Katanya, harga bawang kecil pada waktu itu adalah adalah RM14 sekilogram.

“Sejak penularan wabak Covid-19 harga bawang paling cepat naik, namun bagi bawang putih harganya stabil iaitu RM8 sekilogram dan bawang Holland RM2 sekilogram.

“Harga bawang semua orang sedia maklum naik sejak hujung tahun lalu, ia tidak dapat dielakkan kerana semuanya diimport dari luar negara, namun pengguna mempunyai pilihan boleh menggunakan bawang Holland,” katanya yang lebih 40 tahun berniaga di Jalan Masjid, Jitra Lama.

Selain bawang, Mohamad Ali berkata, harga telur meningkat hampir setiap hari iaitu dengan kenaikan purata sebanyak lima sen sehari.

Katanya, harga telur bagi gred C naik daripada RM8 kepada RM12 sepapan dan ia dijangka terus meningkat sekiranya pelanggan terus membuat pembelian panik.

“Dulu seorang pelanggan hanya membeli lima biji telur tapi sekarang semuanya datang beli sepapan atau 30 biji.

“Pengguna tak perlu risau kerana telur sentiasa ada bekalan, buat belian secara biasa sahaja, barulah harganya boleh stabil.

“Barang runcit lain seperti beras, gula, tepung, minyak masak semuanya cukup dan tidak berlaku kenaikan harga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 10:21 AM