GAMBAR hiasan. FOTO Akma Bakar
GAMBAR hiasan. FOTO Akma Bakar
Yun Mikail


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah tidak mengesan kenaikan harga bagi semua jenis bawang dan telur ayam di negeri ini sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya, Georgie Abas berkata, bekalan untuk dua barangan berkenaan adalah mencukupi ketika ini serta tidak wujud kenaikan harga di pasaran seluruh negeri ini.

“Sabah menerima bekalan bawang merah baharu dari India minggu lalu dan dijangka jumlah bekalan bertambah di pasaran.

“Malahan kita turut menjangkakan penurunan harga bawang apabila bekalan lebih stabil.

“Selain itu, telur ayam membabitkan semua gred juga tidak mengalami gangguan bekalan sekali gus dijual tanpa sebarang kenaikan hasrga,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Georgie berkata harga bagi bawang merah kecil import (India) kini dijual RM11.28 sekilogram manakala bawang merah besar atau bawang Bombay import (India) RM5.68 sekilogram.

“Harga bagi bawang putih import (China) pula dijual dengan harga RM10.98 sekilogram dan bawang besar kuning (Holland) dipasarkan kepada pengguna dengan harga RM3.90 sekilogram.

“Sementara itu, purata harga untuk telur ayam gred A setakat semalam adalah RM13.24 sepapan, RM12.67 sepapan (gred B) dan RM12.08 sepapan (gred C),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 5:01 PM