Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Harga telur naik antara 30 hingga 50 sen bagi setiap gred untuk kuantiti 30 biji sejak tiga minggu yang lalu.

Perkara itu diakui oleh pemborong telur di bandar Kota Bharu dan Tumpat yang memaklumkan harga barangan itu naik kerana beberapa faktor termasuk peningkatan kos di ladang.

Pemborong telur yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 40, memaklumkan harga telur naik antara 30 hingga 50 sen bagi kuantiti 30 biji sejak tiga minggu lalu.

Katanya, harga telur naik kerana premisnya mendapat harga telur dengan harga yang sudah tinggi dari ladang.

"Kemungkinan harga naik kerana disebabkan kos di ladang meningkat termasuk kos dedak ayam, gaji pekerja dan pengangkutan.

"Jika sebelum ini, harga 30 biji telur RM10.80 bagi gred C dan meningkat kepada RM11.10, manakala gred B dijual RM12.30 dan sebelum ini RM11.80. Begitu juga bagi gred A dan AA yang turut meningkat antara 30 hingga 50 sen bagi 30 biji," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tinjauan di sebuah premis mendapati harga telur naik di antara 30 hingga 50 sen bagi setiap gred untuk telur 30 biji sejak tiga minggu lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tinjauan di sebuah premis mendapati harga telur naik di antara 30 hingga 50 sen bagi setiap gred untuk telur 30 biji sejak tiga minggu lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Menurutnya, ekoran kenaikan harga telur, dia menerima rungutan daripada pembeli yang berasa terbeban dengan peningkatan harga telur.

Katanya, kenaikan dan penurunan harga telur sering berlaku yang mengikut kepada kenaikan kos di ladang.

Seorang peruncit, Nor Azila Ramli, 45, berkata, walaupun harga telur naik, namun dia tetap menjual pada harga yang sama iaitu RM2 bagi lima biji telur gred C.

"Saya mendapat harga yang sedikit tinggi daripada pemborong, namun saya tetap jual pada harga normal kepada orang kampung.

"Saya tidak mahu memikirkan keuntungan kerana niat saya mahu membantu mereka yang berada dalam kesusahan," katanya ketika ditemui di Wakaf Bharu di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 5:54 PM