TIONG King Sing di Dewan Rakyat, Rabu lalu. FOTO arkib NSTP
TIONG King Sing di Dewan Rakyat, Rabu lalu. FOTO arkib NSTP
Melvin Joni


Kuching: Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing memohon maaf susulan kenyataannya mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah takut mati.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata, permohonan maaf itu bagi memastikan persidangan Dewan Rakyat berjalan lancar dan demi kepentingan serta keharmonian negara.

"Saya membuat permohonan maaf sekiranya ada keterlanjuran kata saya ketika perbahasan Belanjawan 2021.

"Langsung tidak terdetik untuk saya menafikan amalan mulia semua barisan doktor, jururawat, barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan.

"Saya hanya berniat untuk membahas soal Covid-19 yang membimbangkan rakyat supaya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Saya tidak mahu kerana saya, seluruh urusan Dewan Rakyat yang mulia ini terganggu," katanya.

Tiong ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 menimbulkan kekecohan dewan apabila mendakwa "DG takut mati."

Beliau dengan lantang mengatakan Dr Noor Hisham tidak berani turun ke Sabah, tatkala negeri itu mengalami kesan paling teruk akibat gelombang ketiga Covid-19.

Dakwaan itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen bangkit membantah kenyataan itu, yang disifatkan sebagai penghinaan kepada Dr Noor Hisham dan barisan hadapan.

Berita berkaitan:

  • Dr Noor Hisham dedikasi hidupnya jaga kesihatan rakyat
  • Tak perlu pun Dr Noor Hisham turun padang: CUEPACS
  • 'Keluar sekarang atau saya panggil polis' [METROTV]
  • Dr Noor Hisham sudah buat yang terbaik: Dr Zulkifli
  • 'Tak timbul isu kita takut mati': Dr Noor Hisham [METROTV]
  • Dewan Rakyat kecoh, isu hina KP Kesihatan [METROTV]
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 3:34 PM