TLDM mengusir tiga bot nelayan Indonesia di 26 Batu Nautika selatan Pulau Perak semalam. FOTO Ihsan TLDM
TLDM mengusir tiga bot nelayan Indonesia di 26 Batu Nautika selatan Pulau Perak semalam. FOTO Ihsan TLDM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengusir tiga bot nelayan Indonesia yang memasuki perairan negara di kedudukan 26 batu nautika, selatan Pulau Perak, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat pada kenyataan berkata, Kapal Diraja (KD) Laksamana Tan Pusmah yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut dan Op Pejarak mengesan tiga bot nelayan berkenaan.

"KD Laksamana Tan Pusmah menerima maklumat daripada 'Maritime Component Commander' (MCC) jam 12.45 tengah hari semalam, yang memaklumkan beberapa bot nelayan asing dikesan di posisi 26 batu nautika, selatan Pulau Perak.

"Kapal berkenaan diarahkan menghampiri lokasi berkenaan untuk melakukan pemeriksaan sebelum mendapati tiga bot nelayan Indonesia sedang bertambat di boya berdekatan dalam perairan negara Malaysia," katanya hari ini.

Menurutnya, KD Laksamana Tan Pusmah melakukan pengusiran dengan mengiringi bot-bot nelayan terbabit sehingga keluar dari perairan negara, jam 4 petang semalam.

"TLDM sentiasa memperkasakan Op Benteng dan sentiasa komited dalam menjalankan tugas mengawal perairan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 2:05 PM