Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Bot nelayan Indonesia diusir keluar selepas menceroboh perairan negara kira-kira 25 batu nautika tenggara Pulau Perak, semalam.

Markas Pemerintahan Armada Barat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan berkata, kapal TLDM KD Laksamana Tan Pusmah mengesan bot nelayan asing berkenaan ketika rondaan operasi Op Benteng Laut dan Op Pejarak di Selat Melaka.

"Hasil dari pemeriksaan, pasukan menggeledah kapal ke atas bot yang tidak memiliki nombor pendaftaran. Terdapat lima awak-awak warganegara Indonesia berada di atas bot berkenaan.

"Seorang daripada lima awak-awak berkenaan memiliki dokumen pengenalan diri warganegara Indonesia manakala empat orang lagi tiada pengenalan diri,"katanya.

Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati muatan yang terdiri daripada ikan pelbagai jenis dengan berat kira-kira 40 kilogram (kg) juga dijumpai di atas bot terbabit.

"KD Laksamana Tan Pusmah seterusnya mengusir bot nelayan berkenaan keluar dari perairan negara dengan mengiringi bot nelayan terbabit hingga ke sempadan perairan Malaysia bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan lagi.

"TLDM sentiasa memperkasakan Op Benteng dengan kehadiran kapal TLDM yang sentiasa beroperasi bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dan bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19," katanya.

ANGGOTA TLDM membuat pemeriksaan bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara. FOTO ihsan TLDM
ANGGOTA TLDM membuat pemeriksaan bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara. FOTO ihsan TLDM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 10:51 AM