BOT tongkang dinaiki Pati warga Indonesia diusir ketika cuba bolos ke perairan negara. FOTO ihsan TLDM
BOT tongkang dinaiki Pati warga Indonesia diusir ketika cuba bolos ke perairan negara. FOTO ihsan TLDM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Cubaan 25 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia membolosi perairan negara kira-kira empat batu nautika Tenggara Pulau Angsa, Selangor, gagal selepas bot tongkang dinaiki mereka diusir keluar, awal pagi tadi.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan bot ronda milik tiga agensi Maritime Component Commander (MCC) iaitu bot RHIB R 2007 milik TLDM, bot RH 10 dan bot Seahawk milik Pasukan Polis Marin (PPM) serta bot Penggalang 41 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mengusir bot tongkang yang disyaki membawa Pati berkenaan.

"Hasil usaha gabungan ketiga-tiga agensi berkenaan di sektor 5 di bawah Ketua Gugus Tugas PPM Selangor berjaya mengesan dan melakukan pemeriksaan terhadap bot tongkang berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati seramai 25 Pati warga Indonesia cuba membolosi perairan negara dan tindakan mengusir bot tongkang berkenaan keluar dari perairan negara diambil," katanya.

Menurutnya, bot RHIB R 2007 milik TLDM kekal mengiringi dan mengusir bot tongkang itu hingga keluar dari perairan negara sehingga jam 6.53 pagi tadi.

"TLDM sentiasa memperkasakan Op Benteng melalui kerjasama pelbagai agensi Maritime Component Commander di bawah National Task Force (NTF) bagi memperkukuhkan sempadan perairan negara daripada diceroboh Pati.

"Kehadiran pelbagai aset keselamatan di laut yang beroperasi 24 jam adalah bagi mengekang kemasukan Pati dan mencegah penularan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 6:04 PM