DR HENDRIK Lamsali (kemeja putih) membuat tinjauan di Inapan Siswa. FOTO Ihsan UUM
DR HENDRIK Lamsali (kemeja putih) membuat tinjauan di Inapan Siswa. FOTO Ihsan UUM
Noorazura Abdul Rahman


UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) memberi jaminan kebajikan dan keselamatan 5,661 pelajarnya yang masih berada di dalam kampus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sentiasa dijaga rapi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Hendrik Lamsali, berkata pihaknya akan menjaga keselamatan mereka dan menjalankan pemeriksaan kesihatan termasuk kepada pelajar antarabangsa.

“Saya berharap ibu bapa tidak panik atau bimbang dengan keselamatan anak mereka berikutan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.

“Apa yang penting, apabila pelajar ini tidak pulang ke kampung halaman masing-masing, mereka terhindar dari jangkitan wabak ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Hendrik berkata, pelajar terbabit sentiasa dikawal rapi pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jabatan Keselamatan Universiti yang mengawal pergerakan pintu masuk utama.

Katanya, pihak universiti juga sentiasa mengemas kini informasi terkini yang dikeluarkan kerajaan supaya warga kampus khususnya pelajar tidak terlepas dan sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan itu.

“Segala keperluan pelajar di dalam kampus juga mencukupi termasuk pembukaan kafeteria bagi kemudahan makanan dibawa pulang atau penghantaran.

“Pemantauan juga mendapati kesemua pengusaha mematuhi arahan dengan hanya membenarkan makanan dibungkus sahaja dan tiada pelajar dibenarkan berkumpul atau makan di kafeteria,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 2:07 PM