DR HENDRIK LAMSALI. FOTO IHSAN UUM
DR HENDRIK LAMSALI. FOTO IHSAN UUM
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Sabah dan kawasan zon merah Covid-19 diminta menangguhkan perjalanan pulang ke kampus sehingga ke tarikh dimaklumkan kelak.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM Prof Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, keputusan itu dibuat pengurusan universiti berikutan peningkatan kes Covid-19 di beberapa daerah di seluruh negara.

"Pengurusan sangat prihatin terhadap risiko keselamatan penuntut.

"Keputusan ini dibuat selaras pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan mesyuarat terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Universiti hari ini, yang memutuskan supaya penuntut dari Sabah dan kawasan zon merah di negeri lain menangguhkan perjalanan ke kampus," katanya pada kenyataan hari ini.

Hendrik berkata, sebarang perubahan baharu atau pekeliling pengurusan universiti akan dibuat dari semasa ke semasa.

Penuntut boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Penginapan Pelajar (SAC) di talian 04-9284154/184 atau pejabat Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM di talian 04-9284010.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 7:02 PM